Searching...
Tuesday, 10 September 2013
03:07 0

Pestabola Merdeka: Wan Zack Belum Berpuas Hati



KUANTAN: Pemain tengah Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Nor teruja selepas meledakkan gol kemenangan ketika perlawanan kedua menentang Myanmar pada aksi Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, Isnin malam.
Pemain kelahiran Maran, Pahang ini turut membantu pasukannya ketika mencari gol penyamaan dengan melakukan sepakan percuma tepat ke arah gawang sebelum disempurnakan Mohd Irfan Fazail.
Kemenangan 2-1 itu sekaligus membawa skuad bimbingan Ong Kim Swee ini layak ke final walaupun perlawanan masih lagi berbaki satu bertemu Thailand Rabu ini.
"Sudah tentu perasaan gembira kerana menjaringkan gol kemenangan.
"Walaubagaimanapun saya tidak boleh berpuas hati dan paling penting saya perlu memperbaiki prestasi setiap perlawanan.
"Pada perlawanan itu, kita dibolosi pada babak pertama, namun berjaya bangkit mencari gol kemenangan hasil daripada kerjasama pasukan, " jelasnya kepada media, Selasa.
Dalam pada itu, Wan Zack turut teruja kerana dapat menyumbangkan gol di tempat sendiri.
"Terima kasih kepada orang-orang kampung saya yang terus menerus memberi sokongan," tambahnya.
Mengulas perlawanan menentang Thailand pada Rabu ini, Wan Zack mahu memberi persembahan seratus peratus.
"Apa jua keputusan pada aksi ini, kita tetap masuk final, tetapi saya tidak boleh berpuas hati dan perlu pemerkan permainan yang terbaik, "jelas pemain kelab Jepun FC Ryukyu ini.

sumber:Mstar online
03:04 0

Nadal Tumpaskan Pilihan Utama Djokovic Untuk Menangi Terbuka AS Dalam Empat Set

Rafael Nadal bersama trofi kemenangannya selepas menjuarai tenis Terbuka Amerika Syarikat (perseorangan lelaki) menewaskan Novak Djokovic, awal pagi Selasa. -foto AFP
NEW YORK: Dalam tempoh tiga jam dua puluh satu minit, Rafael Nadal, pilihan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat menumpaskan pilihan utama, Novak Djokovic untuk muncul sebagai juara buat kali kedua dalam kariernya di sini dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$3.2 juta.
Pemain asal Sepanyol berusia 27 tahun itu menang 6-2, 3-6, 6-4, 6-1.
Nadal yang baru sahaja kembali aktif Februari lalu selepas berehat panjang selama tujuh bulan akibat kecederaan lutut kini telah mengutip 13 kejuaraan Grand Slam - kurang satu di belakang legenda Pete Sampras dan empat di belakang Roger Federer.
Ini meletakkannya dalam senarai ketiga paling banyak memenangi kejuaraan Grand Slam di dunia.
Grand Slam merujuk kepada empat kejohanan utama dunia iaitu Terbuka Australia, Terbuka Perancis, Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat.
Dari sudut permainan Djokovic adalah pemain yang serba lengkap tetapi kekuatan mental Nadal mengatasi segala-galanya dan ini dapat disaksikan pada set terakhir apabila Djokovic menyerah kalah dengan begitu mudah tanpa tentangan sepertimana tiga set sebelum itu.
Dari segi durasi perlawanan juga, perlawanan akhir ini tidak dapat mengatasi epik pada perlawanan akhir Terbuka Australia yang berlangsung selama lima jam lima puluh tiga minit.
Namun, perlawanan ini juga memiliki magiknya yang tersendiri - pada set kedua mereka mencatatkan rali terpanjang dalam sejarah iaitu sebanyak 54 kali pukulan tanpa henti iaitu pada break point 3-2.
Para penonton kemudiannya memberikan 'standing ovation' kepada kedua-dua pemain hebat itu.
Para pengulas menyifatkan kemenangan Nadal sebagai sangat luar biasa selepas ramai yang meramalkan kariernya telah berakhir selepas tidak muncul atas gelanggang selama tujuh bulan.
Tetapi sejak kembali Februari lalu, dia telah memenangi kejuaraan demi kejuaraan dan bakal merampas kembali kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia daripada Djokovic.
Djokovic yang lebih dikenali sebagai 'The Joker' kerana sifat kelakarnya sama ada di dalam atau di luar gelanggang nampaknya kehilangan segala kelakuan humornya pada hari ini.

sumber:Mstar 
Monday, 9 September 2013
15:02 0

Malaysia benam Myanmar 2-1 pada aksi kedua

  • Pestabola Merdeka
 1 / 1 
MALAYSIA mengalahkan Myanmar 2-1 pada perlawanan kedua Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.
  
Separuh Masa: 0-1
  
Penjaring:

Malaysia: Mohd Irfan Fazail (m-64), Wan Zack Haikal Wan Nor (m-78)
  
Myanmar: Nay Lin Tun (m-38)
  
  
Barisan Pemain:

  
Malaysia: Mohd Izham Tarmizi Roslan, Md Fadhli Mohd Shas, Nik Mohd Shahrul Azim Abd Halim, Mohd Zubir Mohd Azmi, Putera Nadher Amarhan, Mohd Irfan Fazail (kapten), D. Saarvindran (Syahrul Azwari Ibrahim), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (Saiful Ridzuwan Selamat), Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (K. Reuben), A. Thamil Arasu.
  
Myanmar: Pyaye Phyo Aung, Zaw Min Tun, Aung Hein Kyaw, Kyaw Zayar Win(kapten)(David Htan), Kyi Lin, Kyaw Ko Ko, Ye Lin Aung, Thein Than Win, Phyo Ko Ko Thein (Htoo Htoo Aung), Thet Naing, Nay Lin Tun (Kaung Sithu).
      
Pengadil: Abdul Malik Abdul Bashir (Singapura)
  
- Bernama
15:00 0

Pestabola Merdeka: Malaysia Tempah Tiket Ke Final

Ketua pasukan Harimau Muda A, Mohd Irfan Fazail diasak ketua pasukan Myammar, Kyaw Zayar Win pada kejohanan Pesta Bola Merdeka ke-41 di Stadium Darul Makmur di sini, Isnin. Keputusan Malaysia 2-1 Myammar. -foto S.S.KANESAN/The Star
KUANTAN: Pasukan Malaysia berjaya mencatat kemenangan kedua Pestabola Merdeka apabila menewaskan Myanmar 2-1 di Stadium Darul Makmur, Isnin.
Kemenangan ini secara rasminya melayakkan skuad bimbingan Ong Kim Swee ini ke final selepas mengumpul enam mata daripada dua perlawanan biarpun masih lagi berbaki satu perlawanan bertemu Thailand Rabu ini.
Kedua- dua pasukan mula mengatur serangan sejak awal permainan dimulakan apabila penyerang kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor berjaya membolosi benteng pertahanan lawan pada minit kedua permainan, namun cubaan itu gagal tepat ke pintu gol.
Namun penyerang kelahiran Pahang itu dilayangkan kad kuning pada minit ke-12 kerana menerjah pemain Myanmar.
Pada minit ke-20, Md Fadhli Shas gagal menyempurnakan bola muntah hasil sepakan percuma oleh Wan Zack Haikal yang terkena palang.
Selepas bertungkus-lumus cuba menyerang kubu pertahanan, pasukan Myanmar memecah kebuntuan dengan gol pertama perlawanan apabila bola yang ditepis penjaga gol negara, Mohd Firdaus Muhammad hasil daripada cubaan pemain Myanmar, Nay Lin Tun terkena betis Mohd Zubir Mohd Azmi sekaligus bola memasuki gawang sendiri pada minit ke-37.
Penjaring gol kemenangan Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Nor mendapat pelukan tahniah daripada ketua pasukan Mohd Irfan Fazail dan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang Myammar pada kejohanan Pesta Bola Merdeka ke-41 di Stadium Darul Makmur dekat sini, Isnin. -fotoBERNAMA
Selepas gol pertama, aksi skuad muda negara ini sedikit goyang sebelum kembali ke rentak permainan.
Bersambung pada babak kedua, Harimau Muda tidak berputus asa mengatur strategi yang lebih baik dengan melakukan serangan demi serangan namun benteng pertahanan anak buah Park Sung Hwa itu jelas sukar ditembusi.
Skuad negara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 hasil sepakan percuma Wan Zack Haikal sebelum Junior Eldstal menanduk ke arah gawang dan disempurnakan oleh kapten pasukan, Mohd Irfan Fazail.
Sebelas minit selepas itu, stadium sekali lagi bergegar dengan sorakan lebih kurang 3,000 orang penyokong apabila sepakan percuma yang diambil Wan Zack Haikal tepat ke pintu gol.
Pada masa tambahan, ayam tambatan Myanmar, Kyi Lin dilayangkan kad merah gara-gara membantah keputusan pengadil.
Selepas ini, skuad negara bakal mengharungi perlawanan ketiga bertemu Thailand bagi melengkapkan jadual perlawanan sebelum ke final.
SENARAI PEMAIN
Malaysia
Md Fadhli mohd Shas, D.Saarvindran Mohd Irfan Fazail (Kapten), A.Thamil Arasu, Wan Zack Haikal Wan Nor, Junior Eldstal, Mohd Zubir Mohd Azmi, Nik Mohd Sharul Azim, Mohd Azrif Nasrulhaq, Muhammad Nazmi Faiz, Mohd Izham Tarmizi
Myanmar
Pyaye Phyo Aung, Zaw Min Tun, Aung Hein Kyaw, Kyaw Zayar Win, Kyi Lin, Kyaw Ko Ko, Ye Lin Aung, Phyo Ko Ko Thein, Thet Naing, Nay Lin Tun

sumber:Mstar online