Searching...
Tuesday, 8 October 2013
03:10 0

Indra diugut bunuh dalam Facebook


AKSI Indra (tengah) ketika menentang Johor DT pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu.


TONGGAK Kelantan, Indra Putra Mahayuddin tidak tahu dia diancam bunuh selepas aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Indra memberitahu, dia tidak mengambil serius terhadap ugutan itu yang disifatkannya gurauan semata-mata.
"Saya tidak apa-apa. Sejujurnya, saya bersama ahli keluarga masih selamat buat masa ini.
"Saya tidak tahu jika ada ugutan bunuh daripada mana-mana pihak tetapi saya percaya ia lebih kepada gurauan sahaja. Ia tidak begitu serius," kata Indra ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tinjauan Kosmo! dalam laman sosial Facebook semalam mendapati ada pihak tidak berpuas hati dengan Indra yang didakwa sengaja menyiku penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo.
Pertembungan antara Indra dan Mat Yo itu menyebabkan bekas penyerang Kelantan itu ditimpa kecederaan hidung berdarah.
Ditanya mengenai insiden itu, Indra berkata: "Saya tidak mahu komen mengenai hal itu buat masa ini. Saya akan tunggu masa yang lebih sesuai."
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak berkata, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) boleh mengemukakan aduan terhadap insiden itu yang dikatakan 'terlepas pandang' oleh pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri.
Jika PBNJ mengemukakan aduan, FAM sedia mengambil tindakan terhadap Indra jika bekas pemain kebangsaan itu benar-benar didapati bersalah sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mat Yo.
Selain insiden itu, satu lagi 'babak' yang mencuri tumpuan pada pertemuan di Kota Bharu Sabtu lalu ialah tindakan penyerang import Johor DT, Leonel Nunez menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Kelantan.


sumber: Kosmos online
03:08 0

Suarez, Sturridge makin serasi


SUAREZ (kanan) dan Sturridge akan membentuk gandingan mantap bagi membantu Liverpool menghadapi kempen Liga Perdana England musim ini.


LONDON - Penyerang Liverpool, Luis Suarez menegaskan bahawa dia tidak bersaing dengan Daniel Sturridge untuk menjadi penjaring terbanyak pasukan itu musim ini.
Suarez berkata, dia dan Sturridge akan bekerja keras untuk membentuk gandingan mantap demi kebaikan skuad The Reds.
Penyerang Uruguay dan England itu masing-masing meledak satu gol ketika Liverpool menewaskan Crystal Palace 3-1 pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu.
Gandingan itu telah meledakkan lima gol sepanjang dua perlawanan sejak Suarez kembali daripada pengantungan 10 perlawanan.
Selain itu, keserasian Suarez dan Sturridge turut melenyapkan spekulasi yang mempersoalkan kemampuan mereka untuk bergandingan.
Suarez berkata, dia dan Sturridge akan meneruskan persembahan cemerlang untuk membantu Liverpool menempah slot ke kempen Liga Juara-Juara pada musim depan.
"Kami bersaing demi kebaikan Liverpool dan kami akan mencuba memberikan aksi terbaik untuk pasukan, bukan untuk saya mahupun Sturridge.
"Apabila anda memiliki seorang penyerang ternama dan memiliki seorang pemain yang hebat seperti Sturridge, saya sangat gembira.
"Dia telah memberikan aksi terbaik kepada pasukan dan berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan saya
"Jika kami berjaya mengekalkan prestasi ini dan memenangi setiap perlawanan, kami pasti mudah untuk memburu slot ke kempen Liga Juara-Juara musim depan," kata pemain berusia 25 tahun itu. - Agensi


sumber:kosmo online