FALLANIE kini berdepan dengan penggantungan dua tahun selepas didapati positif dalam ujian doping.
|
PELUMBA basikal lebuh raya negara, Ahmad Fallanie Ali akhirnya tampil mempertahankan dirinya mengenai isu doping ketika beraksi pada Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2013 Jun lalu.
Meskipun ujian doping ke atasnya didapati positif, Fallanie, 30, h tetap dengan pendiriannya bahawa dia hanya mengambil ubat batuk dan bukan bahan larangan iaitu dadah jenis steroid anabolic seperti yang disahkan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).
Bagaimanapun, ujian doping yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang kandungan kodein atau dextromethorphan iaitu bahan yang terkandung dalam ubat batuk berkenaan.
Pelumba kelahiran Terengganu itu turut mempertahankan keputusannya yang enggan membuka sampel B air kencing atas alasan dia mempunyai hak berbuat demikian.
"Saya akui apa yang berlaku ini adalah disebabkan kesilapan saya kerana tidak meminta nasihat daripada Institut Sukan Negara (ISN) atau pengurus dan jurulatih pasukan.
"Pada waktu itu, saya mengalami demam selama seminggu, jadi saya memutuskan untuk mengambil ubat batuk, selesema dan demam.
"Saya tidak percaya dan sangat terkejut apabila dimaklumkan oleh Setiausaha Persatuan Basikal Kuala Lumpur (PBKL) Firdaus Arshad bahawa ujian doping saya disahkan positif," jelas Fallanie kepada Kosmo! semalam.
Menurut Fallanie, surat rayuan supaya hukuman diringankan selain penjelasan sebenar mengenai perkara itu telah dihantar kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 9 Ogos lalu selepas dia diberi tempoh sehingga Selasa depan (20 Ogos) untuk menjawab pertuduhan.
"Memang saya bersalah, saya terima keputusan ini tetapi pada masa sama, saya berharap hukuman yang dikenakan terhadap saya dapat diringankan kerana saya tidak tahu pengambilan ubat batuk, selesema dan demam mampu mengheret saya dengan masalah ini.
"Sekali lagi saya ingin jelaskan bahawa apa yang saya lakukan memang tidak disengajakan. Saya pergi ke farmasi seperti biasa untuk mendapatkan semua ubat tersebut," katanya.
Fallanie yang terkenal sebagai pelumba domestik, tidak menolak kemungkinan bahawa pengambilan ubat batuk secara berterusan menjadi antara faktor bahan tersebut wujud dalam air kencingnya.
"Saya tiada niat untuk mengambil bahan larangan itu, namun saya redha dengan apa jua keputusan yang akan diputuskan nanti," kata Fallanie yang patah tulang bahu kerana terlibat dalam kemalangan sebelum beraksi pada J1M 2013.
Fallanie berkata, apa yang berlaku ke atas dirinya ketika ini bukan penamat kepada kariernya dan dia akan tetap meneruskan latihan seperti biasa.
Fallanie yang dipinjamkan oleh PBKL kepada Terengganu pada J1M 2013 kini bakal berdepan penggantungan dua tahun oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Dia merupakan pelumba lebuh raya ketiga menerima hukuman berkenaan selepas Razif Salleh pada 2006 dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (2009).
sumber:kosmo online
0 comments:
Post a Comment