SUAREZ (kanan) dan Sturridge akan membentuk gandingan mantap bagi membantu Liverpool menghadapi kempen Liga Perdana England musim ini.
LONDON - Penyerang Liverpool, Luis Suarez menegaskan bahawa dia tidak bersaing dengan Daniel Sturridge untuk menjadi penjaring terbanyak pasukan itu musim ini.
Suarez berkata, dia dan Sturridge akan bekerja keras untuk membentuk gandingan mantap demi kebaikan skuad The Reds.
Penyerang Uruguay dan England itu masing-masing meledak satu gol ketika Liverpool menewaskan Crystal Palace 3-1 pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu.
Gandingan itu telah meledakkan lima gol sepanjang dua perlawanan sejak Suarez kembali daripada pengantungan 10 perlawanan.
Selain itu, keserasian Suarez dan Sturridge turut melenyapkan spekulasi yang mempersoalkan kemampuan mereka untuk bergandingan.
Suarez berkata, dia dan Sturridge akan meneruskan persembahan cemerlang untuk membantu Liverpool menempah slot ke kempen Liga Juara-Juara pada musim depan.
"Kami bersaing demi kebaikan Liverpool dan kami akan mencuba memberikan aksi terbaik untuk pasukan, bukan untuk saya mahupun Sturridge.
"Apabila anda memiliki seorang penyerang ternama dan memiliki seorang pemain yang hebat seperti Sturridge, saya sangat gembira.
"Dia telah memberikan aksi terbaik kepada pasukan dan berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan saya
"Jika kami berjaya mengekalkan prestasi ini dan memenangi setiap perlawanan, kami pasti mudah untuk memburu slot ke kempen Liga Juara-Juara musim depan," kata pemain berusia 25 tahun itu. - Agensi
sumber:kosmo online
0 comments:
Post a Comment